ATURAN SKIM KREDIT PENGGUNA
KOPERASI KONSUMER MALAYSIA BERHAD
1. TAJUK.
1.1 Aturan ini diberi nama “Aturan Skim Kredit Pengguna Koperasi Konsumer Malaysia Berhad”.
1.2 Aturan ini diwujudkan dibawah Akta mengikut seksyen 51 Akta Koperasi 1993 dan dikuatkuasakan selepas persetujuan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi ini.
2. TUJUAN
2.1 Tujuan aturan-aturan ini diwujudkan ialah untuk :-
2.1.1 Mengwujudkan skim kredit pengguna sebagai satu kemudahan bagi anggota ini bagi maksud yang berfaedah.
2.1.2 Merancang skim kredit pengguna dan segala aktiviti berkaitan dengan kredit pengguna
2.1.3 Menjalankan aktiviti kredit pengguna itu dengan sempurna.
2.1.4 Mengawal perjalanan aktiviti kredit pengguna itu.
3. MODAL OPERASI DAN SUMBER KEWANGAN.
Modal bagi melaksanakan,memberi dan menjalankan aktiviti skim kredit pengguna kepada anggota-anggota koperasi ini adalah diperolehi dari pinjaman-pinjaman daripada anggota-anggota dan bukan anggota tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seskyen (50) Akta Koperasi 1993.
4. PEMBERIAN KREDIT PENGGUNA
4.1 Menurut Undang-undang Kecil 67, Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi boleh memberikan atau kemudahan skim kredit pengguna kepada :-
4.1.1 Anggota-anggota dan
4.1.2 Subsidiari Koperasi atau subsidiarinya tertakluk kepada seksyen 51 Akta Koperasi 1993.
5. BARANGAN SKIM KREDIT PENGGUNA.
5.1 Barangan yang disediakan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi kepada anggota secara kredit adalah seperti berikut :-
5.1.1 Barangan kelengkapan rumah seperti Televisyen,, Video, Hi Fi Set, Mini Compo, Radio Kaset, Peti Sejuk, Mesin Basuh, Kipas, Blender dan lain-lain.
5.1.2 Komputer
5.1.3 Barangan Perabot
5.1.4 Motorsikal
5.1.5 Kabinet Dapur
5.1.6 Ubahsuai rumah
5.1.7 Lain-lain barangan pengguna dan kelengkapan perabot rumah mudah alih dan tidak alih yang diperlukan oleh anggota-anggota.
6. TEMPOH BAYARAN BALIK DAN BILANGAN PENJAMIN
6.1 Had kredit minima bagi anggota-anggota mengeluarkan barangannya adalah sebanyak RM2,000.00 dan had kredit maksima adalah sebanyak RM150,000.00 dan bayaran yang dibenarkan untuk dibayar balik adalah maksima selama tempoh 10 tahun.
6.2 Sebarang kredit tidak boleh dibayar balik lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.
6.3 Kredit hendaklah dibayar balik secara ansuran bulanan pokok dan faedah berserta dengan lain-lain bayaran.
7. KADAR FAEDAH
7.1 Kadar faedah pinjaman yang dikenakan adalah 8.5% iaitu mengikut jumlah pinjaman dan kadar faedah yang diluluskan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
7.2 Kadar faedah yang tersebut diatas boleh dipinda oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi dari masa ke semasa setelah mengambil kira kadar faedah pasaran.
7.3 Dalam perkiraan faedah yang perlu dibayar balik secara ansuran bulanan yang sama banyak nilainya sepanjang tempoh yang ditetapkan bagi bayaran balik sesuatu kredit maka sebarang sen (fractions) dalam perkiraan faedah akan dibundarkan (rounded off) ke sepuluh sen yang lebih dekat berikutnya (the nearest ten cents).
7.4 Faedah sebulan dengan sepenuhnya bagi sesuatu kredit itu akan dikenakan kali pertama (first instance) ditolak daripada jumlah kredit yang diluluskan itu terlebih dahulu sebelum cek dikeluarkan. Dalam keadaan yang luarbiasa sekiranya anggota berkenaan hendak membayar/menjelas terlebih dahulu sebelum cek dikeluarkan boleh terima tertakluk kepada kelulusan Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
7.5 Jika anggota enggan untuk bersetuju bayar faedah pertama yang dikenakan maka Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi berhak untuk menolak sebarang kredit yang diluluskan itu.
8. BAYARAN PERLINDUNGAN INSURAN.
8.1 Permohonan adalah dikehendaki bersetuju untuk membayar sekurang-kurangnya suatu amaun sekadar yang ditetapkan atas jumlah kredit diluluskan kepada Perlindungan Insuran hanya sekali setiap kali ia diberi sesuatu kredit.
8.2 Perlindungan Insuran hanya akan melindungi baki kredit anggota yang meninggal dunia (bukan bunuh diri) dan mengalami kecacatan kekal (tidak dapat meneruskan kerjanya).
9. BAYARAN PROSES KREDIT
Bayaran Proses kredit, akan ditetapkan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi dari masa ke semasa.
10. KELAYAKAN MEMOHON KREDIT
10.1 Kelayakan memohon kredit adalah seperti berikut :-
10.1.1 Telah mencapai usia 18 tahun;
10.1.2 Telah menjadi anggota Koperasi ini;
10.1.3 Telah menjelaskan / membayar modal syer sepenuhnya sebanyak RM100.00 dan bayaran masuk sebanyak RM20.00.
10.1.4 Pelanggan berkeupayaan untuk membayar balik jumlah kredit berserta dengan faedah dalam tempoh yang ditetapkan secara potongan gaji melalui potongan Biro Perkhidmatan Angkasa atau lain-lain cara yang dipersetujui oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi tanpa mengalami sebarang kerumitan.
10.1.5 Lain kelayakan yang diputuskan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi dari masa ke semasa; dan
10.2 Dibawah aturan ini Koperasi bolehlah setelah bukti yang mencukupi diberi kepada salah seorang pegawai mengenai maksud pelanggan meminjam, memberi kredit sejumlah mana yang difikirkan sesuai kepada mana-mana anggota Koperasi ini tertakluk kepada had-had serta syarat-syarat yang termaktub dalam aturan-aturan ini dan lain-lain had serta syarat-syarat yang akan dikuatkuasakan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi dari semasa ke semasa dan keputusan Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi terhadap semua perkara mengenai kredit dibawah aturan-aturan adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.
11. PERMOHONAN KREDIT.
11.1 Sesuatu permohonan untuk kredit akan dipertimbangkan hanya sekiranya syarat-syarat yang berikut dipersetujui :-
11.1.1 Permohonan dibuat diatas Borang Rasmi yang tertentu dan sipelanggan akan memberi maklumat-maklumat sebagaimana diperlukan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi dan diterima di Pejabat Koperasi ini pada waktu biasa pejabat.
11.1.2 Pelanggan mesti mengemukakan salinan kad pengenalan serta salinan asal penyata gaji yang terbaru.
11.1.3 Anggota-anggota kerajaan seharus mengemukakan borang-borang Biro Perkhidmatan Angkasa yang tertentu.
11.1.4 Pelanggan adalah dikehendaki bersetuju tidak akan berhenti menjadi anggota sehingga tanggungan kepada Koperasi ini sama ada sebagai pelanggan atau penjamin dijelaskan.
11.2 Adalah menjadi kewajipan Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi menentukan penjamin-penjamin baharu diperolehi apabila diketahui bahawa penjamin-penjamin bagi sesuatu kredit itu mati atau berhenti menjadi ahli ataupun tidak mampu untuk menyempurnakan syarat-syarat jaminannya.
12. BAYARAN BALIK BULANAN
12.1 Bayaran balik bulanan atas kredit pokok faedah akan bermula atas kredit sepenuhnya yang diluluskan mulai dari bulan berikutnya kredit yang diluluskan itu dilepaskan oleh Koperasi ini.
12.2 Bayaran balik bulanan hendaklah dilaksanakan tidak lewat dari tarikh akhir bulan setiap bulan kalendar melalui salah satu cara seperti berikut :-
12.2.1 Melalui potongan gaji oleh majikan kepada Biro Perkhidmatan Angkasa
12.2.2 Dengan wang kiriman pos atau wang pos kepada Koperasi dengan kelulusan Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
12.2.3 Mengarahkan bank-bank sipelanggan membuat permindahan yang perlu setiap bulan kepada Koperasi ini dengan kelulusan Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
12.3 Sebelum tindakan potongan gaji dijalankan oleh Biro Perkhidmatan Angkasa pelanggan dikehendaki membayar ansuran bulanan secara terus/sendiri kepada Koperasi.
12.4 Pelanggan dikehendaki membayar ansuran bulanan pendahuluan sebanyak 1 bulan atau jumlah yang ditetapkan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi jika perlu.
13. BORANG PERJANJIAN/BON KREDIT
Tidaklah menjadi suatu kesalahan jika pihak Koperasi dan pihak pelanggan bersetuju agar borang perjanjian dan/atau bon kredit diisi dan ditandatangani terlebih dahulu dan kemukakan kepada Koperasi ini bersama dengan borang permohonan kredit bagi kemudahan kedua belah pihak.
14. TERMA-TERMA DAN SYARAT-SYARAT TAMBAHAN
Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi mempunyai kuasa untuk mengikut pelanggan dan/atau penjamin-penjamin (jika ada) dengan terma-terma serta syarat-syarat tambahan dari semasa ke semasa mengikut keadaan semasa sebelum meluluskan kredit.
15. PELANGGARAN ATURAN-ATURAN
Sekiranya anggota yang berkenaan melanggar aturan-aturan ini koperasi ini secara ipso-facto setelah memberi 14 hari notis bertulis menarik perhatian anggota itu mengenai kegagalannya mematuhi aturan-aturan ini memperolehi kembali sepenuhnya jumlah baki kredit berserta dengan faedah yang masih belum dibayar kembali dari anggota berkenaan dan/atau penjamin secara bersama dan beramai-ramai sebagaimana Koperasi ini akan sendiri memutuskan dalam tempoh 3 bulan sesudah melanggar peraturan ini.
16. KEMUNGKIRAN JANJI DAN MEMBUAT PEMBAYARAN.
16.1 Sekiranya sebarang ansuran tidak dijelaskan dalam tempoh 3 bulan berturut-turut mana ianya mesti dibayar setiap bulan maka anggota akan dikehendaki membayar faedah tambahan atas kadar tidak melebihi satu perpuluhan lima (1.5%) peratus sebulan keatas ansuran yang dimungkiri dari tarikh mana ansuran seharusnya perlu dibayar sehingga tarikh pembayaran dibuat terhadap jumlah yang dimungkiri itu. Pengiraan faedah “Default Interest” adalah berasaskan kepada jumlah kredit yang belum selesai dalam rekod Koperasi ini. Sesuatu bulan atau sebahagian darinya akan dianggap sebagai satu bulan genap bagi maksud mempertimbangkan pembayaran yang dimungkiri.
16.2 Mungkiri janji terhadap membayar ansuran bulanan sebagaimana telah dipersetujui atau kegagalan majikan memotong atau kegagalan membayar melalui bank ansuran bulanan sebagaimana di persetujui tidak akan menjejaskan hak-hak Koperasi ini dibawah peraturan-peraturan ini.
16.3 Sekiranya pelanggan memungkiri janji serta tiada membayar ansuran kredit lebih daripada 3 bulan berturut-turut Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi berhak untuk menutup akaun kredit dan kutip daripada penjamin (jika ada) seorang atau beramai-ramai dengan cara yang sesuai difikirkan patut oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
16.4 Segala bayaran pos., peguam sipemungut hutang tindakan mahkamah dan lain-lain kos seharus ditanggung oleh si pelanggan dan atau penjamin-penjamin.
17. TANGGUNGAN PENJAMIN
Penjamin-penjamin (jika ada) dikehendaki bersetuju untuk mengakui bahawa mereka bersama dan beramai-ramai adalah bertanggungjawab keatas kredit yang diberi kepada pelanggan dan sekiranya berlaku pemungkiran janji atau kegagalan dalam pembayaran ansuran bulanan atas sebarang sebab yang ditimbulkan oleh sipelanggan, mereka akan secara bersama dan/atau beramai-ramai membayar balik sepenuhnya baki yang perlu dibayar dalam tempoh satu bulan setelah diberitahu secara bertulis untuk berbuat demikian. Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi boleh mengikut budibicaranya memperolehi semula dari sebarang atau semua penjamin-penjamin jumlah kredit atau baki yang tinggal dalam tempoh yang ditumpukan oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
18. KREDIT BERTINDIH (OVERLAPPING CREDIT)
18.1 Permohonan bagi sesuatu kredit bertindih (ovelapping credit) tidak digalakkan sehingga jelas/bayar separuh baki kredit kecuali dalam kes-kes berupa segera dan serta merta yang boleh terima oleh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi dan yang mana mengikut pendapat Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi merupakan munasabah dan kecemasan.
18.2 Sebarang hutang atau jumlah yang perlu dibayar balik kepada Koperasi ini oleh pelanggan terhadap sesuatu kredit yang telah diberi sebelum ini kepada pelanggan itu dibawah aturan-aturan ini atau sebarang hutang atau jumlah yang wajib dibayar akibat dari lain-lain liabiliti atau liabiliti-liabiliti incurred oleh pelanggan itu dengan koperasi ini akan diselaraskan (offset) dari kredit bertindih (overlapping credit)
18.3 Anggota yang diberi kredit bertindih (overlapping) akan mendapat semua kemudahan yang di perolehi oleh anggota yang menyelesaikan kredit lebih awal dari tempoh yang ditetapkan.
19. KREDIT BUKAN HAK ANGGOTA.
19.1 Tiada anggota boleh menuntut sesuatu kredit sebagai suatu hak dibawah peraturan ini dan Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi ini berhak menggunakan budibicara mutlak mereka untuk :
19.1.1 Menolak sesuatu kredit tanpa memberi sebarang sebab
19.1.2 Menghadkan amaun kredit tertakluk kepada aturan
19.1.3 Menolak semua atau sebarang jaminan yang ditawarkan
19.1.4 Menolak permohonan sekiranya borang kredit tidak diisi dengan lengkap dan rosak.
20. MELEBIHI PERUNTUKAN
Apabila permohonan-permohonan untuk kredit yang diterima oleh Koperasi ini didapati melebihi dari peruntukan skim kredit pengguna ada maka nama-nama pelanggan akan didaftarkan dalam senarai menunggu dan kredit-kredit akan diluluskan mengikut peruntukan skim kredit pengguna yang terdapat dari masa ke semasa dan atas budibicara sepenuh Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi.
21. AM.
21.1 Koperasi ini adalah sebuah organisasi Koperasi yang berkehendakkan anggota-anggotanya sentiasa mematuhi perinsip-perinsip koperasi dan menyokong semua koperasi yang didaftarkan dibawah Akta Koperasi, peraturan-peraturan yang diperbuat dibawahnya dan undang-undang kecil koperasi ini.
21.2 Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan Skim Kredit Pengguna anggota-anggota Koperasi ini mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam aturan-aturan dan juga jika perlu syarat-syarat/terma tambahan
21.3 Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi diberi kuasa sepenuhnya oleh Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan untuk menggunakan budibicara bagi menggantungkan pada bila-bila masa operasi aturan-aturan skim kredit pengguna atau mengenakan sekatan keatas operasinya dari semasa ke semasa sekiranya didapati perlu.
22. PERTIKAIAN
22.1 Jika berbangkit sebarang perselisihan faham diatas aturan-aturan ini atau timbul apa-apa perbalahan mengenainya maka pertikaian itu hendaklah dirujuk kepada Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi
22.2 Sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh tiga bulan dari pertikaian kepada Lembaga Koperasi atau Jawatankuasa Pengurusan Koperasi maka hendaklah dirujuk kepada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi yang akan datang untuk penyelesaian dan segala keputusan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi adalah muktamad.
PERSETUJUAN
Diakui aturan-aturan menjalankan Aktiviti-aktiviti Skim Kredit Pengguna ini telah dibentang, dibincang dan diterima dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Konsumer Malaysia Berhad yang diadakan pada dua puluh sembilan haribulan Jun tahun dua ribu sembilan.
…………………………………. ………………………………….. …………………………………..
MOHAMAD HAZIS BIN NGAH, AHAMED KAMAL @AHMAD KAMAL BIN BAHARI, HARUNA RASHID @ HARUN BIN SALEH
Pengerusi Anggota Lembaga Anggota Lembaga